Ahad, 17 September 2017

KITA HILANG RAMAI INTAN DALAM AGAMA


Image result for pusat tahfiz ittifaqiyah
Sumber : Google


Berita kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah yang berlaku baru-baru ini telah menggemparkan sekian ramai orang dalam negara. Kebakaran yang tragik itu telah mengorbankan  sebanyak 23 nyawa. Ramai yang sedih dan sayu tatkala menerima berita itu. Ramai yang tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. 

Berita itu mendapat perhatian meluas oleh masyarakat kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih kecil telah terkorban. Ramai orang mahu pihak berkuasa segera mencari punca-punca kebakaran. Ini dilakukan supaya keadilan untuk kanak-kanak yang tidak berdosa itu boleh ditegakkan. 

Setakat ini biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan. Usahlah kita sebagai anggota masyarakat menyebarkan berita yang bukan-bukan. Perbuatan itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah boleh mengguris hati ahli keluarga mangsa yang sedang mengalami kehilangan. 

Menyalahkan orang lain atas apa yang telah berlaku tidaklah menyelesaikan masalah. Biarlah pihak berkuasa yang menangkap sesiapa sahaja yang sememangnya bersalah. Kita sebagai anggota masyarakat usahlah mengecam dan berkelahi. Tunggulah hasil siasatan yang akan dikeluarkan nanti. 

Kematian kanak-kanak pusat tahfiz dalam kebakaran itu wajar ditangisi oleh kita semua. Kematian mereka merupakan bukan sahaja kehilangan besar buat ahli keluarga mereka, malah kehilangan besar buat agama juga. Islam telah banyak rugi dengan kematian mereka. 

Tidak ramai kanak-kanak di dunia yang mahu menjadi penghafal Al-Quran. Kanak-kanak lain kebanyakkannya suka menjadi doktor, peguam, jurutera, atau ahli perniagaan. Tetapi kanak-kanak yang terkorban itu sanggup dan suka menjadi penghafal Al-Quran. Orang yang menghafal Al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agama. Banyak manfaat yang Islam boleh dapat daripada diri mereka. Barangkali apabila mereka dewasa, ilmu Al-Quran yang mereka dapat itu boleh mereka sebarkan kepada anak-anak orang lain pula. Lalu ilmu Al-Quran itu akan kekal tersebar di mana-mana. 

Apabila mereka telah tiada, maka kuranglah orang yang berpotensi untuk mengajar Al-Quran dengan sebanyaknya. Sebab itulah umat Islam telah rugi dengan kehilangan mereka.  

Pujangga bermadah : kalau tinggi untung jadi bintang, kalau rendah masih jadi intan. Anak-anak yang terkorban itu belumlah menjadi bintang dalam agama memandangkan usia mereka masih muda. Tambahan pula jasa mereka kepada agama belum terserlah dengan sebanyaknya. Tetapi mereka telah pun menjadi intan dalam agama. Keinginan mereka untuk menjadi penghafal Al-Quran adalah sesuatu yang sangat mulia.

Apa yang telah menimpa ke atas kanak-kanak dan dua orang guru tahfiz itu adalah sesuatu yang amat menyayat hati. Kita berharap agar kejadian semacam itu tidak berulang lagi. Wajar kita berdoa supaya mereka semua dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Sesungguhnya mereka adalah intan dalam agama. Al-Fatihah…

Nota : Perkembangan terbaru setakat ini, suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut telah ditahan. Sama-samalah kita menunggu hasil siasatan lanjut yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Jumaat, 8 September 2017

DEKLAMASI PUISI DAN SEKSI OVARI


Image result for seksi ovari
Sumber : Google


Apabila Fazleena Hishamuddin menulis buku puisi Seksi Ovari, bermacam pendapat yang datang kepadanya dengan begitu banyak sekali. Ada pembaca yang memuji dan tidak kurang juga ada yang mengeji. 

Saya tidak mahu membicarakan secara panjang lebar mengenai buku itu. Apa yang hendak saya bicarakan adalah perbahasan yang membelengu buku itu. Saya fikir buku itu mengundang perbahasan kerana judulnya yang agak berani. Pembaca yang berfikiran sempit pasti akan membuat tafsiran pelbagai tanpa dahulu memahami. 

Saya fikir orang yang mengecam Fazleena itu kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan. Ini kerana ovari dan vagina itu tidak dapat mereka bezakan. Seandainya ovari dan vagina itu mereka tahu beza, pasti kemarahan itu tidak akan timbul dengan sebanyaknya. 

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, ovari ialah organ pembiakan yang mengeluarkan ovum (pada orang perempuan atau pada binatang betina) dan organ pembiakan pada tumbuh-tumbuhan (yang di dalamnya terdapat ovul). Vagina pula ialah saluran peranakan pada organ pembiakan haiwan betina atau faraj.  

Apa yang saya hendak bicarakan dalam artikel ini adalah matlamat Fazleena melalui penulisan buku itu. Puisi yang selama ini dianggap bosan, melankolik, mendalam, ‘gelap’, dan mengantuk cuba diubah oleh Fazleena menjadi sesuatu yang segar dan baru. Fazleena melalui buku itu cuba menulis puisi yang mudah difahami. Namun keindahannya masih dikekalkan lagi. 

Sesetengah orang bukan sahaja tidak suka membaca teks-teks puisi, malah turut ‘getik’ untuk menghadirkan diri ke majlis-majlis membaca puisi. Ini kerana cara membaca puisi sering kali membosankan. Fazleena cuba mengubah keadaan ini dengan menjadikan cara membaca puisi itu sesuatu menarik dan menyeronokkan. Maka, tidak akan ada orang yang menguap ketika puisi sedang dibaca. Orang pun akan mudah faham dan terhibur juga. Secara perlahan-lahan puisi itu akan ramai orang suka. Itulah misi dan perjuangan Fazleena yang saya anggap mulia.

Selama ini ramai orang suka menulis puisi mendalam dan berat. Bagi mereka puisi puisi sebegitu bagus dan hebat. Tetapi sebenarnya menulis puisi-puisi sebegitu menjadikan masyarakat semakin jauh dengan puisi. Lalu puisi menjadi genre sastera yang paling tidak disukai. 

Bagi yang pertama kali membaca buku Seksi Ovari, mungkin mereka akan mula tertarik dengan puisi. Ini kerana puisi dalam buku tersebut bukanlah sesuatu yang sukar difahami. Maka akan ramai orang akan mula membaca buku-buku puisi. Dan akan ramai juga orang akan hadir ke majlis-majlis membaca puisi.  

Fazleena menulis puisi-puisi yang terdapat dalam buku Seksi Ovari itu adalah untuk dibaca di atas pentas sebenarnya. Puisi-puisi dalam buku itu adalah puisi-puisi yang mempunyai rima di hujungnya (seperti yang biasa saya lakukan). Fazleena cuba mengekalkan bentuk pantun dan syair lewat puisi-puisinya. Ini dilakukan supaya dapat menimbulkan rasa sedap dan seronok ketika puisi-puisi tersebut sedang dibaca.

Dengan tajuknya yang boleh mengundang kontroversi, dan puisi-puisi yang terdapat di dalam buku itu prosaik sifatnya serba-serbi, pasti sesetengah orang akan menganggap buku itu bukan sebuah buku puisi. Bagi menentukan sesuatu puisi itu bukan puisi tidaklah mudah sebenarnya. Pemikiran setiap orang yang lahir ke dunia adalah tidak sama. Tanggapan terhadap sesebuah puisi itu boleh sahaja berbeza-beza.   

Sebagai orang yang bergiat cergas dalam dunia teater seperti seniman Khalid Salleh misalnya, Fazleena menulis puisi adalah untuk dibaca (di atas pentas). Puisi-puisi di tangan Fazleena tidak hanya terperap di atas kertas sahaja. Fazleena cuba menyampaikan sesuatu mesej yang bernilai melalui puisi-puisinya.

Tidak ramai orang yang berfikiran seperti Fazleena dalam dunia sastera Melayu. Fazleena cuba menggambarkan puisi dengan cara yang segar dan baru. Meskipun buku Seksi Ovari itu diterbitkan secara ‘indie’, namun usaha itu harus dipuji. Harap dengan terbitnya buku puisi Seksi Ovari ini akan lebih ramai lagi orang akan suka dengan puisi. Puisi janganlah dianggap sebagai suatu perkara yang membosankan lagi.   
  

Selasa, 5 September 2017

BAGAIMANA MENDEKLAMASIKAN SAJAK DENGAN BETUL?



Image result for deklamasi
Sumber : Google


Jika ditanya kepada saya, bagaimana mendeklamasikan sajak dengan betul sebenarnya, saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat mengenainya. Saya sering mendeklamasikan sajak-sajak yang saya cipta mengikut cara dan gaya saya. Saya tidak pernah berpegang kepada mana-mana aliran pemikiran tertentu ketika membaca sajak-sajak saya. 


Ketika menyertai beberapa pertandingan mendeklamasikan sajak, saya hanya mengikut cara dan gaya saya ketika mendeklamasikan sajak. Saya pernah menang dan pernah kalah juga. Tetapi saya pernah melihat peserta-peserta lain menyertai pertandingan yang sama mendeklamasikan sajak lebih bagus daripada saya. Gaya dan intonasi suara mereka saya kira lebih baik daripada saya.


Saya mula belajar membaca sajak setelah melihat beberapa orang di sekolah membaca sajak dalam beberapa majlis keraian. Kemudian saya jadikan apa yang saya lihat itu sebagai ikutan. Saya juga menonton tokoh-tokoh tertentu membaca sajak di laman Youtube seperti A. Samad Said, Khalid Salleh, Pyanhabib, dan Rahman Shaari. Dari situlah saya membentuk cara membaca sajak saya sendiri.


Pernah seorang rakan menyuruh saya belajar membaca sajak dengan betul. Saya tidak tahu ukuran apa yang dia guna untuk menentukan cara membaca sajak yang betul. Saya pun tidak pernah endah akan saranan yang dia berikan. Saya hanya ikut sahaja cara membaca sajak yang biasa saya gunakan. Ini kerana saya mahu menyampaikan sajak saya dengan penuh kejujuran. 


Tidak ada cara membaca sajak yang betul pada hemat saya. Terpulanglah kepada penyajak tersebut mahu membaca sajaknya dengan cara yang bagaimana. Yang dipentingkan dalam membaca sajak adalah intonasi suara dan cara penyampaiannya. 


Dalam persembahan mendeklamasikan sajak, mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak adalah perkara yang paling mustahak. Bagi sajak-sajak yang mudah difahami maksudnya, membaca sajak tersebut eloklah dengan cara yang sederhana. Tetapi bagi sajak yang sukar difahami, cara mendeklamasikan sajak tersebut amat dipentingkan sama sekali. Cara mendeklamasikan sajak-sajak yang sukar difahami sedikit sebanyak dapat membantu penonton untuk memahami.   


Amat penting untuk seorang penyajak memahami sajak yang dibacanya ketika membuat persembahan. Jika tidak, pasti sajak yang dibacanya tidak mempunyai penghayatan. Itu akan membuatkan mesej yang terkandung dalam sesebuah sajak gagal untuk disampaikan. Penonton pun akan mudah berasa bosan. 


Sebab itulah bagi mana-mana penyajak yang berupaya menulis sajak mereka sendiri, mereka lebih selesa untuk membaca sajak yang mereka cipta sendiri. Mereka tidak akan mendeklamasi sajak-sajak milik orang lain sama sekali (kecuali atas permintaan). Ini berikutan supaya sajak-sajak yang sedang dibaca dapat difahami dan dihayati dengan sepenuh hati.


Mendeklamasikan sesebuah sajak tidak perlulah dengan gaya yang berlebihan. Pergerakan tangan tidak perlu dilakukan secara besar-besaran. Seorang penyajak perlu tahu pada perkataan mana yang sepatutnya diberi penekanan (yakni suara perlu ditekan atau ditinggikan). Pergerakan tangan pun hendaklah selari dengan perkataan yang sedang disebutkan. 


Janganlah kita mengungkapkan frasa ‘aku menggeletar’ tetapi pergerakan tangan menunjukkan seolah-oleh kita sedang berlari. Itu menggambarkan sama ada kita tidak menghayati sajak yang kita sedang deklamasi atau lebih parah sajak tersebut tidak kita fahami.    

Mendeklamasikan sajak eloklah dengan cara yang sederhana. Tidak perlu ‘bersungguh’ benar sehingga perlu terjerit-jerit seperti orang gila atau pura-pura menangis sehingga keluar air mata. Pendengar yang menonton sesebuah persembahan sajak adalah untuk mendapatkan mesejnya bukan untuk menonton gaya kita yang entah apa-apa. Perlu diingat kita bukan berada dalam sebuah pertandingan bercerita!


Unsur yang penting dalam pembacaan sebuah sajak adalah kejujuran. Jangan sesekali menipu khalayak yang sedang membuat tontonan. Emosi yang terkandung dalam sesebuah  sajak yang sedang kita baca hendaklah dirasa dalam hati kita terlebih dahulu. Kemudian kita pancarkan kepada khalayak segala emosi yang mengalir itu. Paling bagus jika kita berupaya untuk membuat khalayak mengeluarkan air mata tatkala menonton persembahan sajak kita. Bukan kita sebagai penyajak yang perlu mengeluarkan air mata! Tidak salah untuk penyajak menangis jika penyajak mahu khalayak merasai emosi yang hendak disampaikan. Tetapi hal itu tidak perlulah dibuat secara keterlaluan.  


Saya bukanlah seorang penyajak yang bagus serba-serbi. Banyak perkara yang perlu saya belajar lagi. Tetapi dalam mendekalamasikan sesebuah sajak, yang amat saya pentingkan adalah kejujuran. Harap segala mesej yang terkandung dalam sesebuah sajak itu saya boleh sampaikan.

RAMAI ORANG KELIRU TENTANG PUISI!


Image result for keliru
Sumber : Google


Puisi merupakan karya seni yang mempunyai kedudukan paling tinggi dalam bidang sastera bagi ramai penulis di dunia. Meskipun bentuknya pendek dan ringkas sahaja, tetapi hendak menulisnya tidak semudah yang ramai orang sangka. Menulis sebuah puisi bukan sahaja perlu mahir menggunakan bahasa (seperti rima, inversi, metafora, simile, anafora, dan epifora), tetapi banyak lagi perkara lain perlu dititikberatkan di dalamnya. 

Memandangkan puisi itu berada di kedudukan tertinggi dalam dunia kesusasteraan, maka puisi itu ramai orang takutkan. Ini kerana bagi kebanyakkan orang maksud sesebuah puisi itu sukar untuk difahami. Oleh yang demikian, genre puisi adalah genre sastera yang paling kurang diminati.  Sebab itulah sesiapa yang hendak menerbitkan sesebuah buku puisi, orang itu perlu bersedia untuk rugi. 

Puisi terbahagi kepada dua jenis iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional terbahagi kepada empat bentuk iaitu pantun, syair, gurindam, dan seloka. Manakala puisi moden adalah yang kita kenal pada hari ini sebagai sajak sahaja.  

Puisi tradisional seperti pantun misalnya, ia terikat dengan beberapa ciri utama. Pantun mesti mempunyai empat baris serangkap ; dua baris pertama dikenali sebagai pembayang (atau sampiran) dan dua baris terakhir dikenali sebagai maksud. 

Puisi moden yang kita kenali sebagai sajak pada hari ini, tidak terikat dengan ciri-ciri seperti puisi tradisional sama sekali. Menulis sesebuah sajak boleh dilakukan sebebasnya mengikut kehendak seseorang penulis itu sendiri.

Dalam esei ini, saya cuma membicarakan tentang puisi moden yakni puisi yang berbentuk ‘sajak’ sahaja. Puisi tradisional seperti pantun, gurindam, seloka, dan syair akan saya tulis pada lain masa.   

Menurut Prof Muhammad Haji Salleh (seorang tokoh akademik dan Sasterawan Negara) dalam bukunya Pengalaman Puisi, sajak adalah karya seni yang bernilai rendah manakala puisi adalah karya seni yang bernilai tinggi. Atas pandangan inilah saya membezakan apa itu sajak dan apa itu puisi dalam artikel sebelum ini. Dalam artikel sebelum ini, antara lain saya menulis : 

“Sajak dan puisi itu sebenarnya tidak jauh beza. Tetapi puisi lebih sukar difahami dan diteka maksudnya. Namun, kedua-duanya mempunyai bentuk yang sama. Dan kedua-duanya amat mementingkan keindahan dan kecekapan berbahasa.”

“Puisi perlu disampaikan secara tersirat dan maksudnya sukar difahami. Jika maksudnya mudah difahami, ia tidak menjadi puisi lagi. Ia sekadar menjadi sajak sahaja. Namun, jika puisi terlalu kabur maksudnya, seperti puisi-puisi A.S Amin dan Noor S.I misalnya, ia adalah sesuatu yang tidak bagus juga.”

Antara (ulang : antara) perkara yang paling ‘diharamkan’ dalam penulisan sesebuah puisi adalah puisi itu berbentuk prosaik yakni puisi-puisi yang jelas maksudnya. Sebab itu saya beranggapan bahawa puisi yang berbentuk prosaik itu hanya layak dipanggil sajak sahaja.

Penulis Suhaimi Haji Muhammad (Allahyarham) pernah menimbulkan kemarahan sesetengah penulis dalam dekad 80an apabila menyatakan bahawa sajak-sajak yang mudah difahami itu sebagai ‘sajak tahi’! Namun, bagi penulis Zahari Hasib (Allahyarham), puisi adalah curahan nurani kehidupan seorang penyair dan kerja penulisan adalah milik peribadi kerana setiap penulis berhak untuk bersuara dengan caranya sendiri.    

Menulis sesebuah puisi bukan sahaja perlu menitikberatkan kekaburan makna. Pemikiran, tujuan, perasaan, kehidupan, kebijaksanaan, keindahan, gaya bahasa, dan nilai amat dipentingkan juga. Selain itu, perkara lain yang dititikberatkan adalah tema, persoalan, bentuk, nada dan tanda baca. 

Bagi yang tidak gemar membaca teks-teks puisi, eloklah puisi yang indah itu didengari. Menonton persembahan membaca puisi yang dilakukan oleh penyair tertentu adalah salah satu cara untuk kita menikmati keindahan dan mesej yang hendak disampaikan dalam sesebuah puisi. Di Malaysia, kita ada ramai penyair yang boleh membaca (atau mendeklamasikan) puisi-puisi ciptaan mereka.   

Datuk Rahman Shaari (bekas pensyarah Universiti Malaysia) adalah pendeklamator puisi yang cukup prolifik di Malaysia. Sajaknya yang berjudul Pak Kaduk Ahli Strategi adalah antara sajak yang saya suka. Perhatikan bait-bait sajak Pak Kaduk Ahli Strategi di bawah :
“Telah tahu aku kini / Mengapa begitu jadi / Pak Kaduk dengan ayamnya / Ayam Perkasa / Ingin menentang ayam istana.”

Sajak ini jika dibaca begitu sahaja, kita tidak akan menikmati keindahannya. Tetapi seandainya Datuk Rahman Shaari mendeklamasikan sajak ini, keindahan dan mesejnya barangkali boleh kita nikmati.

Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI) – seorang pelukis dan bekas pensyarah UiTM – telah memperkenalkan penulisan puisi 3V kepada dunia sastera Malaysia. Puisi 3V itu singkatan kepada verbal, vokal, dan visual sebenarnya. Verbal adalah isi sajak, vokal ialah bunyi sajak, visual adalah teknik sajak. Antara sajak AGI yang dideklamasikan secara 3V adalah sajak Duka. Perhatikan bait-bait sajak Duka di bawah : 

“Duka ada di ilmu / Duka ada di ragu / Duka ada di jemu / Duka ada di temu / Duka ada di suka / Duka ada di muda / Duka ada di tua / Duka ada di mata / Duka ada di hidup / Duka ada di duda / Duka ada di janda.”  

Sajak-sajak yang dideklamasikan oleh AGI biasanya dalam bentuk nyanyian – kalau itulah istilah paling tepat yang boleh saya gunakan. Saya kira teknik mendeklamasi sajak begini adalah suatu pembaharuan. Saya angkat topi kepada AGI kerana berani menghasilkan teknik mendeklamasikan sajak yang cukup berbeza. Meskipun tidak ramai penyair yang boleh terima, tetapi ia sudah menjadi khazanah sastera yang cukup berharga.

Khalid Salleh – seorang seniman dan penggiat teater tersohor Malaysia – juga terkenal dengan puisi-puisi yang sering dideklamasikannya. Puisi Kalau Aku Menjadi PM ciptaannya sangat mengagumkan diri saya. Bait-bait puisi itu tertulis begini : 

“Kalau aku menjadi PM / Kesemua nama jalan yang ada di Putrajaya ketika ini / Akan ku sembunyikan di luar pagar bangunan Parlimen / Setidak-tidaknya menjadi tontonan kepada semua ahli Parlimen / Bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nasional atau bahasa kebangsaan / Yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia Artikel 152 (1)”
 

Puisi yang ditulis oleh Khalid Salleh ini tidak sama cara bacanya seperti puisi-puisi yang A. Samad Said cipta. Cara bacanya cukup berbeza. Yang dipentingkan dalam puisi Khalid Salleh adalah mesej bukan bunyi. Sebab itulah puisi beliau tidak sesuai dibaca dengan hanya menatap teks sebaliknya sesuai dibaca secara deklamasi. Yang dipentingkan dalam persembahan Khalid Salleh adalah cara penyampaian puisi supaya puisinya yang kabur itu khalayak boleh fahami. 

Saya mengharapkan agar esei tentang puisi ini dapat memecahkan kekeliruan dalam diri pembaca. Dan saya mengharapkan agar pembaca mendapat sedikit sebanyak maklumat daripadanya. Saya tidak mampu menghasilkan sebuah puisi yang terlalu kabur maksudnya sampai ke mati. Yang mampu saya buat adalah bercerita tentang puisi yang amat saya minati. Ini sahajalah sumbangan saya untuk khazanah kesusasteraan bangsa dan negara saya ini.